Julaihi ketika berucap selepas mengadakan mesyuarat sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 (Pic by Alief Noni)

KUCHING: Bahagian Betong dipilih sebagai tuan rumah sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2022 pada 30 dan 31 Ogos ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu Datuk Julaihi Narawi berkata, dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, terdapat pelbagai acara yang akan berlangsung bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.

“Pengisian program termasuk aktiviti kayuhan basikal (Unity Ride) yang bakal disertai dif-dif jemputan kenamaan, ketua-ketua jabatan dan lain-lain.

“Aktiviti tersebut akan bermula sebelum acara rasmi yang berlangsung pada jam 10 pagi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama-sama jawatankuasa induk bagi sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2022, di Bangunan Wisma Bapa, di sini, hari ini.

Selain itu, Julaihi memaklumkan ambang merdeka juga akan diadakan pada malam 30 Ogos untuk memeriahkan lagi suasana bandar berkenaan sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

Sementara itu, beliau turut menyasarkan seramai 1,000 pengunjung akan hadir pada pagi 31 Ogos, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Orang ramai dijemput untuk memeriahkan sambutan ini kerana jumlah kehadiran yang kita sasarkan ini tidak hanya melibatkan jemputan dari luar dan dalam kalangan masyarakat setempat di Betong sahaja.

“Kita juga udah membuat persediaan rapi untuk menyediakan tempat kepada semua tetamu yang hadir pada hari tersebut.

“Kita percaya peranan masyarakat penting untuk memeriahkan lagi sambutan ini di Sarawak. Ia juga menunjukkan rasa sayang dan cinta kita terhadap Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, acara tersebut dijangka dihadiri Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Julaihi (kanan) memegang poster sambil menerangkan serba sedikit berkaitan pengisian program yang bakal diadakan (Pic by Alief Noni)

Suara Sarawak