BERCUCAP… Rentap berucap pada majlis perasmian “Lab on Bida Development Startegy 2030” di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen Kuching, hari ini. (Foto: GHAZALI BUJANG)

KUCHING: Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) akan memberi tumpuan kepada lima bidang utama sebagai usaha untuk membawa lebih banyak pembangunan di bahagian tersebut.

Timbalan Pengerusi BIDA Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, antaranya adalah infrastruktur, utiliti dan komunikasi,  pelancongn, industri pertanian serta sosial dan kemudahan.

“Pada masa sama, kita perlu mewujudkan lebih ramai sumber manusia yang berkebolehan dan berbakat untuk menghadapi cabaran dalam mempercepatkan ekonomi di Betong.

“Justeru, kita harus memastikan anak-anak di Betong tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pendidikan yang baik,” katanya.

Adun Layar itu berkata demikian ketika berucap bagi mewakili Timbalan Premier merangkap Pengerusi BIDA Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis perasmian Makmal Strategi Pembangunan BIDA 2030 di Hotel Raia, di sini hari ini.

Tambahnya, kerjasama daripada semua pihak sangat penting termasuk memainkan peranan, memberikan sokongan dan bekerja keras dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut.

“Ia juga selaras dengan hasrat atau sasaran Kerajaan Sarawak untuk mencapai negeri maju menjelang 2030,” ujarnya.

Hadir sama bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti merangkap Adun Saribas Mohamad Razi Sitam, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas.

RAKAMAN KENANGAN… Gerald (dua kiri) merakam gambar kenangan bersama-sama dengan tetamu kehormat serta peserta pada majlis perasmian Makmal Strategi Pembangunan BIDA 2030 di Hotel Raia, Kuching hari ini. (FOTO: GHAZALI BUJANG)

Suara Sarawak