Gambar hiasan

MEMILIH kerjaya yang sesuai dengan kelayakan dan minat bukan keputusan mudah.

Kadang-kadang, apabila kelayakan sesuai dengan kerjaya itu, minat pula menghalang.

Sebaliknya jika kita minat kerjaya itu, kelayakan pula tidak sesuai.

Agak jarang kerjaya dan minat menjadi milik kita sekali gus.

Keadaan ini yang berlaku kepada generasi hari ini apabila memilih kerjaya.

Oleh sebab itu, belia kerap menukar kerjaya sebelum menjumpai kerjaya paling tepat.

Jika pada masa lalu, kita sering mendengar nasihat ibu bapa yang berkata, “jangan memilih kerja, asalkan ada”, tetapi pada zaman sekarang, sukar untuk kita menerima kenyataan itu kerana pekerjaan dahulu dan hari ini banyak berubah.

Kini anak-anak muda lebih memilih minat dalam mencari kerja sebagai salah satu kepuasan dalam kehidupan.

Apabila dipaksa untuk membuat kerja yang mereka tidak suka, amat sukar untuk mereka meneruskan pekerjaan itu untuk tempoh yang lama.

Ia menjadi salah satu cabaran besar kepada ibu bapa apabila membimbing anak-anak memilih kerjaya pada masa akan datang.

Jika dahulu kita menuruti arahan ibu bapa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekarang anak-anak boleh melawan untuk tidak mahu ke sekolah dan ingin terus bekerja atau belajar dalam bidang yang mereka minati.

Jadi ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik atau membimbing anak-anak memilih kerjaya yang tepat dan bersesuaian dengan kelayakan anak-anak.

Memilih kerjaya ini bukan perkara yang rumit tetapi memerlukan kefahaman yang jelas dan perancangan yang teratur.

Paling penting adalah sikap tolak ansur antara ibu bapa dan anak-anak supaya tidak berlaku percanggahan pendapat melampau atau bergaduh.

Ibu bapa harus mengetahui bahawa anak-anak pada zaman sekarang lebih awal terdedah kepada peralatan teknologi moden seperti telefon pintar dan komputer.

Perubahan teknologi ini membuka minda mereka untuk mendalami minat sehingga mendorong mereka untuk menjadikan sesuatu profesion sebagai kerjaya.

Sebagai contoh, bidang seni reka dan gaya rambut, ramai ibu bapa terpingga-pingga apabila anak-anak mengutarakan mereka meminati bidang ini.

Jika tanpa usul dan periksa, sudah tentu mereka menolak kerana ia bidang yang jarang didengar dan difikirkan tidak memberikan masa depan yang cerah.

Tetapi ibu bapa tidak tahu bahawa bidang ini seperti pisang goreng panas ekoran perubahan trend gaya rambut pelakon Korea, pelakon Hollywood dan sebagainya.

Sekiranya perubahan ini difahami, mudah untuk ibu bapa mengetahui kehendak anak-anak dan melihat peluang kerjaya yang besar di hadapan mereka.

Sebab itu, sikap tolak ansur amat penting ketika memberi peluang kepada anak-anak mengutarakan pendapat dan kehendak mereka dalam memilih kerjaya.

Namun, dalam membuat keputusan ini, anak-anak pula perlu mempunyai perancangan yang lengkap bagi menentukan hala tuju mereka pada masa akan datang.

Sekiranya anak-anak matang untuk menentukan hala tuju mereka dalam memilih sesuatu kerjaya, maka ibu bapa boleh berasa yakin akan keputusan mereka.

Kini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bukan lagi satu pilihan yang penting kepada anak-anak kerana mereka lebih terbuka kepada minat pada masa hadapan.

Sebagai ibu bapa, jangan kita terlalu berkeras untuk menentukan masa depan mereka seperti kehendak kita sendiri.

Tidak salah sekiranya kita memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk menentukan kerjaya yang mereka minati, namun kita harus membimbing anak-anak sebaik-baiknya agar mereka dapat mencapai kerjaya itu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak