PILIHAN JUARA….Pasukan Tabuan Veteran.

KUCHING: Saingan peringkat suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala YBTM, Ir Aidel Lariwoo 2022 akan berlangsung hujung minggu ini.

Ia sekali gus menyaksikan misi lapan pasukan terbaik untuk menempatkan diri ke separuh akhir.

Dua perlawanan akan berlangsung pada Sabtu, Tedong Melancar A akan menentang One V United Bau (2 petang).

Kemudian disusuli perlawanan antara pasukan JBJ FC dan Abok FC Gedong (4 petang).

Sementara itu, dua lagi perlawanan suku akhir akan berlangsung pada Ahad.

Pasukan Veteran PDRM akan menentang Sri Muara (2 petang) selain pertembungan antara Klasika FC dan Tabuan Veteran (4 petang).

Pengerusi Kejohanan, Batika Lariwoo menegaskan, pihaknya menjangka pertembungan sengit akan berlaku sepanjang dua hari aksi suku akhir itu kelak.

“Semua pasukan akan cuba memastikan kemenangan dapat diperoleh untuk menempah tiket ke separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 21 Ogos nanti,” katanya.

Sambil itu, Batika menyatakan pihaknya percaya pasukan yang akan beraksi pada dua hari itu kelak akan diiringi penyokong setia masing-masing.

Suara Sarawak