Fatimah melawat Pusat Kesuburan Sunway di Kuching, hari ini.

KUCHING: Masyarakat di Kepulauan Borneo khususnya Sarawak tidak perlu lagi merentasi Laut China Selatan untuk rawatan kesuburan bagi mendapatkan zuriat.

Ia susulan penubuhan Pusat Kesuburan Sunway serta Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) Sunway di Kuching yang bekerjasama rapat dalam menyediakan rawatan bersepadu bagi meningkatkan kadar kejayaan kehamilan dengan prosedur penjagaan kesihatan terbaik.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiaitif tersebut dapat membantu usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kadar kelahiran sekali gus menambah populasi rakyat negeri ini.

“Kita boleh berbangga kerana di Kuching sudah terdapat tiga pusat perubatan swasta yang mewujudkan kemudahan rawatan khusus mengenai kesuburan.

“Kalau dahulu, pasangan-pasangan yang berusaha untuk mendapatkan zuriat terpaksa ke Kuala Lumpur bagi rawatan kesuburan yang sudah tentu memakan kos tinggi termasuk tiket penerbangan, tempat tinggal dan rawatan yang berharga sekitar RM18,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke TCM Sunway dan Pusat Kesuburan Kuching di sini, hari ini.

Beliau berharap usaha itu dapat membantu Sarawak mencapai sasaran kadar kelahiran yang tinggi kerana sejak 2019, tiga tahun berturut-turut kadar kelahiran menunjukkan trend penurunan.

“Jumlah pendaftaran kelahiran bayi pada tahun 2019 adalah  seramai 33,304 orang, menurun kepada  seramai 31,176 orang pada tahun 2020 dan seramai 24,081 orang pada tahun 2021,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu orang ramai juga boleh mendapatkan rawatan kesuburan menggunakan wang akaun 2, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan mulai 1 September 2020 bertujuan membantu pasangan membiayai kos rawatan untuk mendapatkan cahaya mata.

Suara Sarawak