PASUKAN Balai Bomba dan Penyelamat Betong berjaya menangkap dua ekor ular berhampiran simpang Skuyat Lama, hari ini.

BETONG: Khidmat pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digunakan untuk meleraikan pertarungan antara berhampiran simpang Skuyat Lama, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kira-kira 1.07 tengah hari.

“Balai kita yang respon kepada mana-mana aduan awam terus menggerakkan empat anggota diketuai PBK II Koni Jayang.

“Apabila sampai, didapati dua ekor ular sedang berlawan di dalam kolam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ular tersebut adalah jenis katam tebu sepanjang 1.5 meter dan ular tedung sepanjang dua meter.

“Tanpa membuang masa, anggota kita terus menangkap ular terbabit menggunakan dua unit pencerut,” katanya.

Vincent berkata ular yang berjaya ditangkap dalam tempoh lima minit itu kemudian dilepaskan ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Terdahulu pada sebelah pagi, Vincent berkata pihaknya diminta menangkap anak ular yang tersesat di premis Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Betong.

 

Suara Sarawak