KUCHING: Acara sukan lasak, Cabaran Kembara Sarawak edisi ke-6 bakal berlangsung pada 23 Oktober depan di Kampung Beliong, Asajaya.

Bersesuaian dengan keunikan kampung tersebut yang mempunyai tokong, tema ‘The Dragons Challenge’ telah dipilih pada edisi kali ini.

 

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, acara sukan lasak itu diadakan setiap tahun bermula sejak 2017.

“Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu larian denai dengan jarak 12 kilometer (km), di samping acara berbasikal bukit dengan jarak 40 km,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, acara itu dianjurkan oleh Draco Action Sports, dan disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu menambah, hadiah wang tunai dengan jumlah berbeza menanti pemenang setiap kategori yang dipertandingkan.

Dalam pada itu katanya, program berkenaan dilihat sebagai salah satu platform untuk mempromosikan tempat rekreasi menarik di negeri ini.

“Acara ini juga merupakan platform terbaik untuk menonjolkan lokasi menarik dan keindahan alam semula jadi termasuk produk pelancongan yang terdapat di sini,” katanya yang turut memberitahu
penganjur menyasarkan 400 peserta.

Acara semakin popular itu telah berjaya menarik peserta dari pelbagai negara termasuk Brunei, Singapura, Malaysia Barat, Indonesia, Hong Kong, China dan Taiwan.

Suara Sarawak