Defendan Chong Chieng Jen (tengah) bersama peguam Michael Kong (kanan) dan Chong Siew Chiang (kiri) bersama penyokong DAP yang lain.

 

KUCHING: Pengerusi Parti Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen kalah dalam kes saman fitnah ‘black hole’ yang difailkan oleh Kerajaan Sarawak dan Lembaga Kewangan Sarawak (SFA), hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas mendapati Kerajaan Sarawak dan SFA selaku plantif berjaya membuktikan kes mereka hari ini.

Chong kemudian diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM150,000 kepada pihak plantif sebagai ganti rugi.

Menurut Siew, merujuk kepada plantif, kenyataan yang dikeluarkan oleh Chong selaku defendan telah memfitnah plaintif, seperti yang diterbitkan atau disiarkan oleh defendan.

Selain itu, mahkamah mendapati pihak plantif berjaya membuktikan niat sebenar pihak defendan.

“Oleh itu, tuntutan plaintif dibenarkan.

“Mahkamah dengan ini membuat perintah iaitu pembayaran ganti rugi RM150,000 dan RM50,000 kos guaman yang perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif; perintah injunksi yang menghalang defendan sama ada dirinya sendiri, pekhidmat atau ejennya atau sebaliknya daripada menerbitkan atau menyebabkan untuk menerbitkan perkataan atau kenyataan yang sama atau serupa,” katanya semasa memberikan keputusannya di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini.

Semasa prosiding, peguam bela Michael Kong yang mewakili defendan memohon diberikan penangguhan pelaksanaan untuk penghakiman hari ini, yang membabitkan kewangan.

Datuk Seri JC Fong (kiri) dan Pegawai Undang-Undang Oliver Chua (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi selepas prosiding kes di sini, hari ini.

“Jika defendan gagal membayar kerajaan seperti yang diarahkan oleh mahkamah, beliau mungkin bankrap jika prosiding kebankrapan dimulakan terhadapnya dan ini bermakna beliau perlu mengosongkan status sebagai Ahli Parlimen dan ADUN.

“Ini akan memberikan kesan domino iaitu pilihan raya kecil perlu diadakan untuk kerusi DUN Padungan, sekali gus menelan belanja berjuta-juta wang milik pembayar cukai,” katanya.

Menurut Michael, kes ‘black hole’ merupakan kes pertama di Malaysia membabitkan pihak kerajaan memfailkan saman terhadap individu persendirian.

Penasihat Undang-Undang Sarawak Datuk Seri JC Fong bagaimanapun memohon kepada mahkamah agar pihak defendan memfailkan permohonan rasmi.

Siew seterusnya menyatakan bahawa mahkamah tidak bersedia untuk membenarkan sebarang penangguhan permohonan lisan oleh peguam defendan.

Namun demikian, pihak defendan bebas untuk memfailkan permohonan rasmi beserta sijil segera sekiranya ada.

Pihak plaintif turut diwakili Pegawai Undang-Undang Oliver Chua.

Manakala, defendan diwakili Chong Siew Chiang dan pembantu khasnya Michael Kong.

Pada 2013, Chong yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menggunakan istilah ‘black hole’ untuk menyatakan sejumlah RM11 bilion hilang dari tabung negeri dan menerbitkan tuduhan itu dalam akhbar nasional serta portal berita nasional.

Kerajaan Sarawak menganggap kenyataan ADUN Padungan tersebut seolah-olah memberi makna yang pihaknya dan SFA menyalurkan berbilion ringgit untuk faedah kroni ahli-ahli kerajaan dan keluarga mereka melalui proses belanjawan.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak dan SFA memfailkan saman fitnah terhadapnya pada 3 April 2013 di Mahkamah Tinggi Kuching.

Suara Sarawak