KUCHING: Gara-gara mengelak daripada didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seorang lelaki sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun.

Bagaimanapun, tindakan pemuda yang mereka-reka cerita kerana kehilangan kad pengenalan itu diketahui oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon berkata, suspek, 22, dituduh di Mahkamah Majistret, di sini semalam di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek membuat laporan disamun oleh dua lelaki menggunakan senjata pisau pada 1 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 pagi di Jalan Kruing, Bintawa.

“Suspek mendakwa telah mengalami kerugian sebanyak RM1,200 dan kehilangan dokumen penting iaitu kad pengenalan dan kad bank.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek hanya mereka-reka cerita bagi mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran kerana kehilangan kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ahsmon berkata, sepanjang Januari hingga Ogos, sebanyak lima laporan polis palsu melibatkan kejadian samun dan ragut telah dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Jelasnya, kesemua suspek telah berjaya dituduh di Mahkamah di bawah 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda Maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Justeru tegasnya, pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu sehingga memberi gambaran negatif berlakunya kejadian jenayah di Daerah Kuching.

Katanya, pihak polis akan mengambil tindakan terhadap individu yang membuat sedemikian.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak