BERUCAP…Dr Kelvin menjawab soalan dari pemberita selepas Majlis Anugerah Pencapaian Cemerlang SPM di Ibu pejabat DAP di sini. Photo Abdul Hakeem Well.

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) bakal melancarkan manifesto kempen dan dasar yang akan memanfaatkan golongan belia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata, manifesto tersebut akan memberi tumpuan kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan industri pendapatan baharu berasaskan teknologi terkini.

“Ramai remaja dan belia hari ini terlibat dalam industri baharu dan pekerjaan luar biasa seperti influencer, YouTuber dan lain-lain.

“Pada masa ini tiada dasar kukuh untuk melindungi mereka dan manifesto kami akan menangani isu-isu ini bagi memastikan golongan muda bukan sahaja mendapat pekerjaan yang baik, malah persaraan mereka terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pencapaian Cemerlang Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) di Ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Ketika ditanya bilakah manifesto berkaitan akan dilancarkan, katanya ia akan dilancarkan sebelum PRU kelak.

Ketua Pemuda DAP terbabit turut menyeru supaya pengundi yang pertama kali menunaikan tanggungjawab mengambil bahagian secara aktif pada PRU-15.

“Pada pilihan raya umum akan datang, golongan muda berumur 18 tahun ke atas akan mengundi buat kali pertama.

“Bagi kami sebagai ahli politik, undi mereka sangat penting dan kami harus memastikan suara mereka didengari dan isu membelenggu ditangani sebaiknya,” katanya.

Dr Kelvin turut memberitahu bahawa PRU-15 dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

“Ini bukan datang dari saya tetapi perkara itu telah diberitahu kepada saya. Saya juga diberitahu bahawa Bajet 2023 dibentangkan awal, PRU mungkin diadakan selepas itu,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 66 lepasan SPM yang memperoleh pencapaian cemerlang hadir bagi kawasan Parlimen Kuching.

Suara Sarawak