HARAPAN… Daubline Timbol, 33, bakal mewakili Sarawak ke Mr Malaysia pada 27 dan 28 Ogos di Alor Setar, Kedah

SERIAN: Atlet bina badan Sarawak, Daubline Timbol, 33, berhasrat mempamerkan aksi terbaik menjelang kejohanan Mr Malaysia yang akan diadakan pada 27 hingga 28 Ogos ini di Alor Setar, Kedah.

Mengakui pertama kali menjadi wakil Sarawak dalam temasya itu, Daubline enggan memandang mudah sebaliknya mensasarkan dapat merangkul tempat kelima terbaik pada kejohanan itu kelak.

Beliau akan mengambil bahagian dalam kategori flyweight 55 hingga 60 Kilogram yang sememangnya menjadi kategori kegemaran sejak membabitkan diri dalam dunia bina badan pada tujuh tahun yang lalu.

“Harap dapat masuk menjadi lima teratas untuk beraksi pada hari final (28 Ogos) yang mana saya sendiri pun tidak menyangka dapat peluang untuk mewakili negeri ke peringkat ini,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau menambah, fokusnya kini adalah memastikan persediaan minggu terakhir menjelang aksi dapat dilaksanakan secara konsisten termasuk penjagaan makanan dan pengambilan suplimen.

Beliau turut menjangkakan kejohanan itu kelak bakal mempamerkan saingan sengit memandangkan kebanyakan wakil dari negeri lain merupakan atlet-atlet yang mempunyai pengalaman luas serta jurulatih tersendiri.

Mengulas lanjut persediaan itu katanya, antara masalah yang dihadapi adalah kos persediaan makanan diet yang memakan belanja sehingga RM350 sebulan.

“Masalah untuk peruntukan biasanya diet kerana makanan diet sekarang kita bukan makan ayam sahaja, ia termasuk jenis-jenis ikan spesifik, paling pun ikan tenggiri.

“Untuk latihan, minggu-minggu terakhir ini biasanya akan dibuat lima kali seminggu,” ujarnya.

Suara Sarawak