TAHNIAH…Lee (dua kiri) menyerahkan sijil rekod baharu kepada Alhias sambil disaksikan Mohammad Duri (dua kanan).

SARATOK: Sebanyak 59 buah sekolah di daerah ini mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book Of Records apabila berjaya mendeklamasi sajak Melayu terpanjang tanpa henti selama 60 jam.

Daripada 59 sekolah terlibat, 50 adalah Sekolah Kebangsaan (SK), tiga sekolah rendah Bebas Cina, lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan sebuah kolej Tingkatan 6.

Perkhemahan Dendangan Syair 60 Jam Tanpa Henti itu menamatkan cabaran menempa nama dalam Malaysia Book of Records pada jam 9 pagi hari ini.

Seramai 700 orang guru dan 400 orang pelajar dari sekolah-sekolah terlibat mula mendeklamasikan sajak pada jam 9 malam 18 Ogos lalu dan tamat pada jam 9 pagi hari ini, dalam acara yang diadakan di SMK Bahasa Malaysia Saratok.

Program itu adalah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Kejayaan berkenaan sekali gus berjaya mengatasi rekod lamanya mendeklamasikan sajak selama 40 jam, yang direkodkan pada 4 hingga 6 September 2007 di Dewan Anjung Santai, Selangor.

Timbalan Pegawai PPD Saratok Alhias Muhi menerima sijil baharu mereka dalam Malaysia Book Of Records itu daripada Pengurus Pejabat Malaysia Book of Record Lee Pooi Leng, yang diserahkan pada Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Saratok di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Sementara itu, Adun Kalaka Mohammad Duri yang merasmikan majlis itu mengucapkan tahniah kepada para peserta kerana semangat kental dengan bersusah payah siang malam mencipta rekod baharu itu.

“Mereka telah mencapai banyak manfaat seperti mengeratkan hubungan silaturahim dan menyatukan peserta daripada pelbagai kaum sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.

Tambahnya, acara itu adalah bersempena dengan sepanjang Bulan Merdeka tahun ini yang sinonim dengan tema “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”.

Suara Sarawak