Gambar hiasan

KUCHING: Padah langgar perintah sekatan apabila gagal melapor diri di balai polis bagi tempoh dua tahun, seorang lelaki di bawah pengawasan pihak polis dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Seli , 48, dari Pakan, Sarikei, selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya.

Berdasarkan pertuduhan, dia yang menjalani perintah sekatan selama dua tahun bermula dua tahun bermula 17 Oktober 2018 sehingga 16 Oktober 2020 didapati tidak melaporkan diri.

Tertuduh sepatutnya melaporkan diri setiap hari Isnin dan Khamis di Balai Polis Tabuan Jaya.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959, sabit kesalahan, boleh di hukum penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang daripada dua tahun.

Menurut fakta kes, pengadu merupakan anggota polis menyemak rekod laporan Orang Pengawasan Polis (OPP) melapor diri di Balai Polis  mendapati tertuduh gagal melaporkan diri seperti yang termaktub dalam perintah sekatan.

Pada 6 Ogos lalu, sekitar jam 9.30 pagi tertuduh berjaya ditahan di pekarangan Balai Polis Serian sekitar jam.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melanggar syarat-syarat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 kerana gagal melaporkan diri di Balai Polis Tabuan Jaya selama dua tahun.

Difahamkan, tertuduh mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak