KUCHING: Padah menyeludup masuk dua orang wanita warganegara Indonesia melalui Jalan Lundu/Bau, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Zaleha Rose Pandin menjatuhkan hukuman terhadap Ronyeh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa dua migran menggunakan sebuah kereta Produa Viva di Jalan Lundu/Bau, kira-kira jam 12.05 tengah malam, 6 Jun 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Menurut fakta kes, sepasukan polis dari Batalion 11, PGA, Batu Kawa telah menahan dan membuat pemeriksaan sebuah kenderaan jenis salon di Kampung Sepadah, Jalan Lundu/Bau.

Hasil pemeriksaan, lelaki warga tempatan (tertuduh) itu dipercayai membawa dua orang wanita warga asing masuk ke negara ini melalui jalan terbabit.

Semasa pemeriksaan, salah seorang wanita bernama Zahriatul Latifah telah menunjukkan pasportnya. Manakala, Normah tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Kedua-dua migran tersebut telah dihadap ke mahkamah di Semuja serta mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk tertuduh bernama Normah, dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi tertuduh bernama Zahriatul Latifah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh diwakili Peguam Francis Teron Kadap dan Timotius Ngau Wan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak