Polis dan pasukan forensik Hospital Umum Sarawak berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

 

PADAWAN: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai tertembak oleh rakan sendiri ketika memburu di hutan Kampung Giam, di sini semalam.

Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian dengan beberapa kesan tembakan pada badan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tiga lelaki berumur 59, 70 dan 80 tahun yang keluar memburu bersama-sama mangsa kemudian ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, turut dirampas selaras senapang patah, dua kelonsong peluru, satu butir peluru, sebuah buku kebenaran membawa dan mengguna senjata dan lesen senjata api.

“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama adik dan dua orang rakannya telah masuk ke kawasan hutan Kampung Giam, kira-kira jam 8 pagi untuk memburu babi hutan dengan bantuan anjing.

Katanya, kira-kira jam 11.45 pagi, salah seorang daripada mereka ternampak pergerakan seperti babi hutan dan melepaskan tembakan pada jarak lebih kurang 20 meter.

“Melihat binatang tersebut seperti mahu melarikan diri, suspek sekali lagi melepaskan tembakan kedua.

“Apabila suspek menghampiri, dia mendapati yang ditembak adalah rakan sepemburuannya,” jelasnya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya menjerit dan memanggil rakan yang lain dan memaklumkan kejadian tersebut.

Katanya, adik kepada mangsa berlari keluar daripada hutan dan menghubungi anaknya untuk memaklumkan kepada pihak polis.

Lokasi berlakunya kejadian tembak di hutan Kampung Giam ketika memburu.

Suara Sarawak