Malvina Albert Klinsing (tengah) bergambar bersama kumpulan Masterpiece

KUCHING: Pameran pendidikan anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) akan memulakan siri keduanya pada 16 dan 17 September ini bertempat di Dewan Komuniti Sibu Jaya, Sibu.

Apa yang lebih menarik, pameran pendidikan kali ini turut dianjurkan dengan kerjasama kumpulan rock Iban popular, Masterpiece.

DTTAS dalam kenyataan media yang dikeluarkan bersama oleh Setiausaha Pameran Malvina Albert Klinsing dan Pegawai Komunikasi Media Nelly Tawai berkata, pameran ini merupakan landasan terbaik dalam memberi ruang dan peluang kepada lepasan sekolah di luar bandar.

Katanya ia adalah bagi memberi pendedahan agar pelajar mendapat maklumat pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan.

Melalui program ini ujarnya, pelajar lepasan SPM, STPM yang tidak begitu cemerlang dan berjaya dalam akademik turut berpeluang memilih kursus atau bidang lain terutama kemahiran sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.

“DTTAS dan Masterpiece menyedari perkara ini dan oleh itu kami bercadang untuk memberi bimbingan dan panduan penting kepada golongan terbabit.

“Kita mahu mereka dilengkapi dengan maklumat tepat dan dapat membantu mereka supaya tidak ada tersalah pilih laluan kerana jika ia berlaku, maka boleh membawa kepada masalah bagi mereka pada masa depan,” katanya.

Melalui program ini juga, DTTAS dan Masterpiece mahu belia bergerak aktif menggunakan platform disediakan kerajaan agar misi dan matlamat DTTAS melahirkan belia berketrampilan dapat direalisasikan pada tahap paling maksimum.

“Kita mahu golongan belia di luar bandar memiliki pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan pasaran kerja abad ke-21 ini.

“Antaranya kecekapan kognitif termasuk pengetahuan mendalam bidang diceburi, kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan dan keupayaan mengekalkan sifat-sifat peribadi berkaitan dengan sesuatu kerjaya,” ujarnya.

Sehubungan itu dengan memiliki segala kemahiran diperlukan katanya, ia akan memberi implikasi besar iaitu pertama mempunyai keyakinan dan kepercayaan diri tinggi untuk mengimbangkan potensi diri, kedua keselarasan keperluan kemahiran antara majikan dengan graduan dan ketiga kualiti pendidikan tinggi dapat ditingkatkan.

“Justeru, graduan harus mempersiap diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan sangat kompetitif.

“Mereka juga harus sedar pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin mereka mendapat jawatan setaraf dengan kelulusan mereka perolehi,” ujarnya lanjut.

Selepas Pameran Pendidikan di Sibu, siri jelajah yang seterusnya adalah di bandar Kanowit.

Suara Sarawak