PADAM….anggota BBP Tanjung Manis memadam kebakaran pada lori.

 

TANJUNG MANIS: Dua lelaki maut disyaki terkena renjatan elektrik apabila lori dinaiki membawa jengkaut tersangkut pada kabel elektrik di Jalan Kampung Semalau, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis digerakkan ke lokasi setelah menerima panggilan berhubung kebakaran lori jengkaut kira-kira jam 9.15 pagi.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan lori yang membawa jengkaut yang tersangkut pada kabel elektrik.

“Anggota bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan satu aliran Salur Bantu Mula dari jentera untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.

Ujarnya, identiti kedua-dua mangsa masih belum diketahui.

Suara Sarawak