SIBU: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Ulu Oya berhampiran SK Sungai Merah, di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.15 pagi.

Jelasnya, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire dan Perodua Axia telah bertembung.

“Dalam kereta Perodua Axia, seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan penumpang di bahagian belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik hospital Sibu manakala seorang pemandu lelaki cedera parah.

“Seorang lagi penumpang wanita yang duduk di kerusi penumpang depan berjaya keluar dari kereta sebelum ketibaan pasukan bomba,” ujarnya.

Beliau berkata pemandu sebuah lagi kenderaan (Toyota Vellfire) tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujar beliau, mangsa yang cedera kemudian telah dibawa oleh ambulans bagi rawatan seterusnya di hospital Sibu manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Anggota Bomba juga melakukan pembersihan jalan bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Setelah mendapati keadaan selamat serta terkawal, anggota berangkat balik ke bala dan operasi ditamatkan pada jam 3.50 pagi,” kata beliau.

MAUT…Anggota bomba ketika berusaha mengeluarkan mangsa tersepit.

Suara Sarawak