KUCHING: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci bagi menentusahkan sama ada dua objek yang dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri ada kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China ataupun tidak.

Mosti dalam satu kenyataan, berkata hasil siasatan dan analisis itu nanti akan dimaklumkan.

“Tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan selaras Akta 834 (Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022) dan triti antarabangsa berkaitan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA),” katanya.

Dalam pada itu, Mosti menyatakan telah menggerakkan pasukan siasatan yang terdiri daripada Bahagian Penguasa Angkasa, MOSTI, MYSA dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) semalam, bagi membuat penyiasatan awal objek yang disyaki sisa serpihan roket China yang jatuh pada 31 Julai lepas.

Jelasnya siasatan awal dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan menumpukan kepada dua lokasi yang dikenal pasti iaitu di Kampung Nyalau dan Kampung Sepupok Lama.

Tambahnya siasatan awal itu juga bagi memastikan tiada sebarang unsur radiasi berbahaya yang mungkin dikeluarkan oleh objek yang disyaki, sebelum siasatan selanjutnya dapat dilaksanakan.

Justeru, katanya pada jam 1.45 tengah hari, seramai empat orang pegawai AELB daerah Bintulu bersama pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia Daerah Bintulu telah menjalankan siasatan di lokasi pertama di Kampung Nyalau.

“Berdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal mendapati bahawa objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci berkenaan tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan,” katanya.

Manakala, ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua yang disyaki di Batu Niah turut menunjukkan hasil yang sama iaitu objek disyaki tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan.

“Kedua-dua objek disyaki adalah selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak