Tertuduh, remaja perempuan (kanan) diiringi ibunya berjalan keluar dari Mahkamah Majistret sambil mendengar penerangan Peguam Daniel Ling.

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membebaskan seorang remaja perempuan dan seorang pemuda selepas tamat tempoh tahanan reman ke atas mereka bagi kes bunuh seorang remaja lelaki yang dipukul beramai-ramai dalam satu kejadian di Jalan Tun Jugah, 29 Julai lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan suspek kelima berusia 21 tahun dan suspek ke 11 berumur 14 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua suspek untuk melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kedua-dua suspek diwakili seorang peguam Daniel Ling.

Terdahulu, mangsa lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia kerana mengalami cedera parah selepas dipercayai dipukul beramai-ramai di Jalan Tun Jugah dalam satu kejadian 29 Julai lepas.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kisah percintaan mangsa dengan seorang gadis berusia 16 tahun.

Seramai 12 orang suspek yang berusia dalam lingkungan 14 tahun hinngga 50 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan.

Daripada jumlah terbabit, suspek kesepuluh dan ke-12 yang masing-masing berusia 19 tahun dilanjutkan reman sehingga 14 Ogos depan.

Manakala, suspek kedua dan keenam yang diwakili Peguam Voon Lee Shan dibebaskan tanpa syarat di mahkamah yang sama.

Suspek ketujuh diwakili peguam Francis Teron. Sementara itu, kesemua suspek yang lain tidak diwakili peguam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Suara Sarawak