KUCHING: Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Ke-19 dijangka akan diadakan pada November tahun ini.

Speaker Dun Sarawak, Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, mesyuarat ketiga biasanya akan diadakan selepas enam bulan mesyuarat kedua Dun berakhir.

“Persidangan Dun juga akan diadakan selepas pembentangan Belanjawan Kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat.

“Justeru, persidangan ini dijangka akan diadakan pada November nanti,” katanya pada sidang media yang diadakan di Bilik Media Dun Sarawak, hari ini.

Untuk rekod, mesyuarat kedua bagi penggal pertama persidangan Dun Sarawak telah diadakan selama lapan hari bermula 17 sehingga 26 Mei lalu.

Pada mesyuarat kedua sebelum ini menyaksikan istiadat pembukaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 17 Mei 2022.

Persidangan itu juga telah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2022), 2022; RUU Kanun Tanah (Pindaan), 2022; dan RUU Hutan (Pindaan), 2022.

BERCAKAP.. Asfia menjawab soalan daripada pemberita.

Suara Sarawak