DALAM keadaan ekonomi yang tidak menentu, penyediaan bahan mentah untuk nasi lemak memainkan peranan penting buat Haziq dan isterinya.

Kongsi Haziq biarpun harga yang dikenakan amat berpatutan, RM1, tidak semestinya dia mengambil enteng akan kualiti bahan yang digunakan dan sebaiknya bahan untuk memasak haruslah yang terbaik dalam penyediaan nasi lemak.

“Walaupun sikit untung yang kami dapat, kami tetap anggap sebagai untung, kita boleh sebut semakin banyak kita hasilkan maka banyaklah untungnya.

“Kita menekankan aspek kualiti makanan kerana untuk nasi lemak ini kita akan menggunakan beras wangi yang berkualiti, dan bahan mentah seperti bawang, cili, ikan bilis, kacang dan sebagainya.

“Ada yang cakap untuk kuantiti RM1 itu ada orang cakap kenyang ada yang kata tidak dengan jumlah nasi yang kita sediakan, maka ia bergantung kepada sambal yang memainkan peranan utama dalam nasi lemak ini.

“Sambal yang kita gunakan dan hasilkan ialah jenis sambal pedas manis, untuk hasilkan sambal ini kami mula memasak pada jam 8 malam hingga 2 pagi, seawal jam 6 petang saya kupas bawang dan bahan-bahan lain.

“Sepanjang menunggu sambal masak memang kami saling berganti tempat untuk melihat keadaan sambal takut hangus jika tidak ia akan merosakkan sambal dan kerugian buat kita.

“Untuk masak kami gunakan dua periuk paling besar, dengan niat untuk pastikan sambal itu bertahan dalam tiga hari.

“Namun setakat hari ini tidak pernah sambal yang ada kami simpan untuk keesokan harinya, semua terjual untuk nasi lemak ini, biasa tinggal sesuku sambal lebih biasanya,” jelas Haziq lagi.

Pelanggan beratur panjang

“Setelah semua bahan disiapkan daripada ikan bilis, kacang tanah goreng, proses pembungkusan akan bermula pada jam 3 pagi,” jelas Haziq.

“Bagi telur rebus biasa kita rebus dalam jam 2 pagi sebab kita nak jaga kualiti telur sebab kita tahu telur ini boleh tahan lama, tapi kita tidak mahu bau hanyir jadi kita proses awal kita kupas, dan proses pembungkusan nasi lemak kita lakukan dari jam 3 pagi hingga 6 pagi.

“Jika tidak habis dibungkus, kita bungkus nasi lemak ini di depan pelanggan.

Memang menjadi kebiasaan, sebab bungkusan nasi lemak yang sudah dibungkus biasa habis terjual,” katanya lagi.

Untuk tempoh ini Haziq dan isteri belum ada perancangan untuk bertukar tempat berjual kerana lokasi kini selesa dan strategik untuk orang awam tambahan ramai telah mengenali mereka dari lokasi padang berkenaan.

Bahkan katanya, seawal jam 6 pagi mereka bergerak ke lokasi menggunakan kereta Perodua Viva Hitam setiap hari, ramai orang telah berbaris menunggu awal di padang berkenaan.

“Rasa “suk” bak kata orang pun ada, sebab saya tidak jangkakan sambutan sangat baik sekali.

Sebab kita imbas kembali untuk pemulaan dahulu kita mula dengan 50 bungkus, isteri ada cakap kalau tidak laku kita sedekahkan sahaja walaupun tidak habis terjual.

“Kita sedekahkan yang tidak terjual kepada mana-mana orang, memandangkan tempat yang kami bertapak kini semakin ramai kenal kami berasa sangat bersyukur, kami dapat tolong sedikit buat semua jadilah,” katanya lagi.

Sehingga kini tempoh operasi perniagaan Haziq dan isterinya adalah beroperasi dari Isnin hingga Sabtu setiap minggu, dari jam 6 pagi hingga habis jualan.

Manakala pada Ahad tidak beroperasi kerana masa rehat buat dirinya dan isteri, malah pada Ahad ada juga yang mencari nasi lemaknya

“Untuk tempoh ini saya juga tidak boleh menekan sangat sebab isteri juga perlukan rehat dan kami dua saling memerlukan, apa-apa pun kami ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang datang ke gerai jualan nasi lemak RM1 kami, terima kasih atas sokongan dan kami akan terus lakukan yang terbaik dalam usaha murni ini,” katanya.

Difahamkan juga dengan had maksimum sehari dari 600 ke 700 bungkus nasi lemak dihasilkan Haziq kini, biasanya pelanggan yang terawal seawal 6.30 pagi akan berbaris di Permyjaya untuk mendapatkan nasi lemak.

Mereka boleh berkunjung ke Desa Indah Permyjaya, Jalan Dato Permaisuri 3D, Miri.

Diharapkan melalui usaha murni Haziq dan isterinya ini mendapat inspirasi buat semua dalam menjalankan perniagaan apatah lagi dalam melakukan amalan sedekah.

Malah usaha berani mereka ini wajar dicontohi tatkala masyarakat berdepan dengan inflasi mereka berani membantu mereka yang memerlukan dan sebaiknya ia mampu mengenyangkan perut setiap lapisan masyarakat yang membeli dengan harga berpatutan.

Suara Sarawak