Datuk Seri Fatimah Abdullah pada sidang media, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk pihak polis di seluruh negara digesa untuk meningkatkan usaha menangkap seorang guru yang disyaki merogol pelajar di Tatau, Bintulu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia untuk memastikan pelaku tersebut dibawa ke muka pengadilan dengan siasatan menyeluruh yang tidak terhadap kepada Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK).

“Pelaku tersebut mungkin boleh lari atau bersembunyi, namun tidak akan lama kerana undang-undang pasti akan mengadilinya.

“Ini kerana jenayah tersebut melibatkan remaja perempuan di bawah umur, tangkapan tersebut penting untuk meminimumkan trauma mereka.

“Polis masih memburu suspek yang menghilangkan diri sejak kes itu terbongkar bulan lalu dan saya berharap pihak berkuasa berkaitaan dapat mengesan suspek,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, KPM sudah membekukan gaji guru yang disyaki merogol dua pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Sebauh, Tatau di Bintulu, beberapa bulan lalu.

Tindakan itu diambil selepas guru berusia 33 tahun berasal dari Tumpat, Kelantan itu menghilangkan diri sejak 19 Julai lalu. Laporan polis berhubung kejadian itu dibuat dua mangsa berusia 14 tahun itu masing-masing pada 27 dan 29 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit dalam kenyataan baru-baru ini mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung lokasi suspek diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurikman Hadi di talian 019-3517155.

Suara Sarawak