KUCHING: Festival Kuching Jazz 2022 yang berlangsung pada 28 dan 29 Oktober ini bakal menampilkan artis terkenal Indonesia, Afgansyah Reza (Afgan).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Afgan mempunyai peminat yang ramai di Malaysia dan Sarawak, dengan namanya juga menjadi sebutan para peminat festival jazz.

BERCAKAP… Abdul Karim bercakap pada sidang media sempena pelancaran Kuching Jazz 2022 di Tribes Jazz & Reggae Lounge, Hotel Grand Margherita dekat sini, hari ini. (F: RAMIDI SUBARI)

“Selepas tiga kali festival ini berjaya dilaksanakan sejak 2017, akhirnya kita dapat memenuhi permintaan tersebut dan membawa Afgan ke Kuching (untuk membuat persembahan) tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Kuching Jazz 2022 di Tribes Jazz & Reggae Lounge, Hotel Grand Margherita di sini, hari ini.

Selain artis dan band dari Indonesia, Karim berkata Kuching Jazz 2022 juga akan menampilkan artis serta band dari Malaysia, Singapura, Australia termasuk Thailand.

RAKAMAN KENANGAN… Abdul Karim merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat yang hadir selepas pelancaran Kuching Jazz 2022 di Tribes Jazz & Reggae Lounge, Hotel Grand Margherita dekat sini, hari ini. (F: RAMIDI SUBARI).

Justeru, katanya mereka menyasarkan seramai 4,000 pengunjung hadir pada dua hari festival yang akan berlangsung di Tebingan Kuching berhampiran Hotel Grand Margherita, di sini.

Orang ramai kini boleh memuat turun aplikasi Insiders Club secara percuma untuk mendapatkan promosi istimewa pas dua hari ke Kuching Jazz 2022 yang ditawarkan RM300 bagi tempoh seminggu sahaja iaitu bermula pada 31 Ogos hingga tengah malam 6 September.

Selepas itu tiket akan disediakan dalam
www.kuchingjazz.com.

Untuk maklumat terkini boleh mengikuti Kuching Jazz 2022 di Facebook dan Instagram.

Bagi pertanyaan lanjut boleh menghubungi nombor +6082-555189 atau e-mel info@placeborneo.com.

Suara Sarawak