Abdul Karim dan Snowdan melihat poster Festival Muzik Borneo Live 2022 selepas sidang media di Kuching, hari ini.

KUCHING: Buat julung kalinya, Festival Muzik Borneo Live 2022 bakal dianjurkan di Sarawak dengan menampilkan barisan artis dan DJ terkenal dari enam buah negara di seluruh dunia.

Akan berlangsung di Kampung Budaya Sarawak di sini, pada 9 dan 10 September depan, festival muzik antarabangsa itu akan menyatukan pelbagai genre muzik yang berbeza di bawah satu platform.

Sepatutnya dianjurkan pada tahun 2020, festival yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 itu akan menampilkan DJ ternama dunia, Alan Walker dari United Kingdom, DJ Soda (Korea Selatan); DJ Alexis Grace, DJ Ice Cream, DJ Chaca, DJ MYVAX , DJ Paul dan MC Vibe (Malaysia); Nicole Chen (Singapura), DJ X Factor (Filipina), DJ Venom C dan Moski Love (Indonesia), termasuk bintang Sarawak At Adau, Tuku Kame and Buloh Berkocak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau teruja melihat pelbagai acara besar kembali ‘hidup’ dan dianjurkan di negeri ini.

“Acara muzik secara langsung (live) berskala besar seperti ini sudah pasti mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan di rantau ini.

“Ia juga menunjukkan bahawa negeri ini adalah destinasi ideal untuk pelancongan muzik di Malaysia. Malah pada tahun ini kita telah melihat berapa banyak acara muzik dan seni telah dipentaskan,” katanya pada sidang media Festival Muzik Borneo Live 2022 di sini, hari ini.

Tambahnya, beberapa lagi acara muzik besar akan turut dianjurkan termasuk Jaz Tebingan Kuching dan ‘Miri Country Music’.

Tiket festival muzik itu dijual pada harga bermula RM500 hingga RM800 untuk pas konsert selama dua hari. Lawati laman sosial Borneo Music Festival Live 2022 untuk perkembangan terkini.

Suara Sarawak