TAHAN… lima individu yang terlibat dalam penyeludupan minuman keras

LIMBANG: Pasukan tentera darat berjaya mengagalkan cubaan menyeludup sebanyak 116 karton minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai berjumlah RM90,000 hari ini.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata serbuan yang dilakukan di jeti Kampung Sibukang itu turut merampas sebuah van bernilai sekitar RM30,000.

“Pada jam 2.30 pagi tersebut, anggota yang bertugas telah mengesan sebuah van yang berhenti di jeti berkenaan, sekitar 1 kilometer dari sempadan Malaysia – Brunei.

“Hasil serbuan mendapati dua lelaki dan seorang wanita tempatan bersama dua lelaki warganegara Brunei berumur antara 24 hingga 53 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, semua yang terlibat dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan minuman keras dari Malaysia ke Brunei.

Kesemua minuman keras tersebut turut dirampas, manakala individu yang terlibat ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang untuk tindakan lanjut.

“Oleh itu, pihak kami akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan Pati.

“Ia juga bagi memastikan tiada sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang juga berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19,” katanya.

PELBAGAI… 116 karton minuman keras dirampas.

Suara Sarawak