BERCAKAP… Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bercadang untuk menubuhkan sebuah galeri bagi mempamerkan kejayaan atlet-atlet Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, galeri tersebut bakal ditempatkan di Bangunan Perkampungan Sukan yang akan dibina di sebelah Kompleks Sukan Sarawak.

“Galeri itu bertujuan mengetengahkan kejayaan legasi terdahulu dan terkini atlet-atlet yang berjaya mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di pentas sukan antarabangsa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan menempatkan galeri sukan di Muzium Budaya Borneo di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak bakal mempunyai perkampungan sukan yang akan siap tidak lama lagi dan percaya galeri pameran jaguh sukan Sarawak akan ditempatkan di situ juga.

“Atlet-atlet Sarawak seperti Kuda Ditta, James Yaakub, dan sebagainya mereka sudah tidak ada bersama kita. Justeru legasi mereka patut diketengahkan kepada atlet-atlet baharu,” jelasnya.

Tambahnya, pembinaan perkampungan sukan itu akan membawa atlet-atlet dari bahagian lain di Sarawak menjalani latihan intensif dengan prasarana dan kemudahan sukan yang lengkap.

Sementara itu dedahnya, Kompleks Sukan Sarawak di sebelah perkampungan sukan itu kini masih dalam peringkat reka bentuk.

Suara Sarawak