AbangJohari (tengah) bergambar bersama  barisan pemimpin Dun Gedong pada Majlis Makan Malam Apresiasi Bersama Pemimpin Dun Gedong (GHAZALI BUJANG)

KUCHING: Barisan kepimpinan di Gedong yang memegang prinsip berpandangan jauh membuktikan perancangan pembangunan di daerah ini dapat dikecapi secara berterusan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelbagai perancangan projek termasuk pembangunan infrastruktur dan pertanian moden kini menunggu masa untuk dilaksanakan.

Antara bukti jelas pembangunan di Gedong katanya adalah pembangunan di Kampung Lubuk Punggor yang dahulunya sukar dilalui namun kini sudah dapat dilewati menerusi pembangunan kemudahan jalan raya berturap dari Kota Samarahan ke Simunjan.

“Perancangan telah dibuat dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan kerana niat kita sememangnya hendak menjadikan Gedong dan kawasan sekitarnya termasuk Simunjan sehingga ke Sebuyau menjadi kawasan pembangunan lengkap,” katanya.

Abang Johari yang juga Adun Gedong berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Apresiasi Bersama Pemimpin Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Gedong di Raia Hotel Kuching, pada Jumaat (4 Ogos).

Ujar beliau, kawasan Gedong, Simunjan, Samarahan dan Sebuyau turut berpotensi menjadi kawasan pembangunan pertanian moden yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, majlis apresiasi itu bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemimpin dan ahli-ahli.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menambah, program tersebut turut dijadikan sebagai peluang untuk mendengar perkongsian dan pengalaman pemimpin dahulu khususnya pemimpin veteran Gedong yang telah membangunkan Gedong secara progresif.

Program turut menyaksikan Premier Sarawak menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Ahli Veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N26 Gedong.

Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pembangunan Pelabuhan  merangkap Adun Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo, dan Setiausaha Eksekutif PBB Datuk Awang Bujang Awang Antek.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak