Ahsmon bercakap pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.

 

 

 

KUCHING: Geng Oscar yang aktif mencuri motosikal di sekitar daerah ini dan Padawan sejak Mac lalu tumpas apabila ditangkap polis menerusi Op Lejang.

Tangkapan tersebut sekali gus berjaya menumpaskan lima sindiket curi kenderaan melibatkan warganegara asing tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, lima ahli kumpulan termasuk ketua ditahan pada 17 Julai lalu menerusi serbuan dijalankan oleh 14 anggota dari pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Siol Kandis.

Katanya, kesemua suspek yang berumur 24 hingga 32 tahun ditahan bersama empat buah motosikal curi berserta pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan.

“Modus operandi kumpulan ini menyasarkan motosikal jenama Yamaha dan kenderaan jenis Proton Wira dan Toyota Hilux kerana mempunyai permintaan tinggi di negara jiran.

Ahsmon menunjukkan motosikal yang dicuri oleh sindiket.

“Mereka menggunakan alat pemutar skru yang telah diubah suai berbentuk T dan satu kunci utama serta beberapa pekakas lain untuk mencuri kenderaan,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.

Beliau berkata, kumpulan ini juga akan menyembunyikan kenderaan yang dicuri di kawasan semak sebelum dibawa masuk ke negara jiran.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek utama (ketua kumpulan) telah dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara.

“Suspek lain telah dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara.

“Dalam yang masa sama, mereka turut dituduh di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu gagal memgemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di Malaysia secara haram,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mengakui masih terdapat kes-kes kecurian motosikal berlaku, justeru menyeru kerjasama masyarakat untuk berkongsi maklumat kepada pihak polis

Maklumat berkaitan aktiviti kecurian kenderaan boleh disalurkan kepada balai polis terdekat atau melalui hotline IPD Kuching di 082-241133.

Suara Sarawak