Van sekolah yang digunakan suspek menyeludup diesel ditahan di Jalan Cattleya 3, Miri semalam.

MIRI: Taktik seorang lelaki menggunakan van sekolah untuk menyeludup diesel terbongkar apabila ditahan oleh polis.

Penahanan suspek dibuat oleh empat anggota Unit Risikan, Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5, yang menjalankan Op Kontraban kira-kira jam 9.30 pagi semalam di Jalan Cattleya 3, di sini.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek berusia 33 tahun itu membawa muatan diesel yang diletakkan di dalam satu tangki besi tambahan dan tiga tong Jerrycan berisi 25 liter, yang diletakkan di belakang van berkenaan.

“Suspek mengaku membawa muatan diesel berjumlah keseluruhan 250 liter itu dan dia turut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson menambah van dan kesemua diesel itu kemudian dirampas, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM16,000.

Katanya kesemua rampasan termasuk suspek yang ditahan telah diserahkan kepada KPDNHEP Miri untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Suara Sarawak