Datuk Seri Dr Sim Kui Hian merasmikan Pejabat Unit Perolehan Organ HUS, di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Dr. Azlee Ayub (kiri) dan Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung (kanan).Foto- RAMIDI

 

KUCHING: Penubuhan Unit Perolehan Organ di Hospital Umum Sarawak (HUS) diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendermaan organ dalam menyelamat nyawa.

Terletak di lobi HUS, ia bertujuan untuk mempromosikan dan menggalakkan lebih ramai orang mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, sekali gus memudahkan penyelarasan dengan Pusat Sumber Pemindahan Negara apabila terdapat kes-kes berpotensi.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Ooi Choo Huck berkata, data yang diperoleh daripada Pusat Sumber Transplan Nasional menunjukkan hanya seramai 5,418 orang di negeri ini telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ.

“Manakala setakat ini, hanya seramai tujuh orang sudah menderma organ di Sarawak sejak tahun 2015. Dalam pada itu, sehingga hari ini kita telah mengenal pasti enam orang pengikrar sebagai penderma berpotensi.

“Jumlah tersebut sangat rendah berbanding bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Perubatan) Dr. Azlee Ayub pada Majlis Pelancaran Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Sarawak 2022 dan Perasmian Pejabat Unit Perolehan Organ HUS, di sini, hari ini.

Tambahnya, di Malaysia pula setakat Jun 2022, seramai 515,530 rakyat telah berikrar sebagai penderma organ sejak 1997, namun, jumlah penderma sebenar (selepas kematian) hanyalah sebanyak 774 orang. Manakala, seramai 10,278 pesakit sedang menunggu transplan organ daripada penderma selepas kematian.

Mengulas lanjut, katanya terdapat dua jenis pendermaan organ selepas kematian bagi tujuan transplantasi termasuk seseorang yang telah disahkan meninggal dunia secara kematian otak dan pesakit yang telah disahkan meninggal dunia secara kematian jantung terhenti.

Suara Sarawak