Abang Johari menyaksikan penyerahan Penganugerah Pembinaan Ibu Pejabat Baharu Shell Malaysia oleh Ivan Tan (tiga kiri) kepada Datuk Seri Yaw Chee Siew (dua kanan) di Times Square, di Miri, hari ini.

MIRI: Pemindahan ibu pejabat Shell Malaysia ke Miri merupakan komitmen jangka panjang syarikat tersebut terhadap pembangunan industri tenaga yang mampan di Sarawak.

Pengerusi Shell Malaysia Ivan Tan berkata, ia juga bagi merancakkan pembangunan ekonomi minyak dan gas sekali gus meningkatkan sosioekonomi masyarakat tempatan.

“Konsep pejabat baharu yang dijangka siap Ogos 2023 ini sangat sesuai dengan visi konsep Shell sebagai sebahagian daripada pelan peralihan tenaga yang mencerminkan aspirasi kami untuk memacu kemajuan ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Penganugerah Pembinaan Ibu Pejabat Baharu Shell Malaysia yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Miri Times Square, di sini, hari ini.

Menurutnya, pejabat baharu tersebut akan mempunyai beberapa ciri bangunan hijau, seperti penggunaan tenaga solar, penuaian air hujan, pengecasan elektrik dan taman di dalam bangunan.

Bangunan pejabat setinggi 14 tingkat tersebut akan menjadi mercu tanda baharu bagi bandar raya Miri.

Suara Sarawak