INDUSTRI penerbangan beransur-ansur bangkit selepas berada di zaman kegelapan akibat pandemik.

Kini, jumlah penumpang pesawat mula melonjak apabila banyak negara mula menerima kehadiran pengembara.

Pada kadar semasa, syarikat penerbangan menjangka ini akan berterusan untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

Beberapa langkah penyelarasan besar-besaran diambil syarikat penerbangan sebelum mereka dapat memulihkan operasi.

Beberapa perkara utama perlu diberikan penekanan khusus oleh semua negara dalam usaha memastikan industri penerbangan dapat dipulihkan secara efektif selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19.

Setiap negara perlu untuk mengecualikan kuarantin wajib terhadap pengembara yang sudah menerima vaksin dan memansuhkan keperluan ujian saringan Covid-19 secara berperingkat bagi kemasukan ke beberapa negara terlibat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, proses untuk mendapatkan visa atau permit juga perlu dipermudahkan.

Apabila elemen penting ini dapat diatasi, ditambah dengan pembukaan sempadan antarabangsa, sudah tentu ia dapat memulihkan industri penerbangan secara berkesan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat serta negara di seluruh dunia secara menyeluruh.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, jumlah trafik penumpang pada Mei 2022 meningkat 83.1 peratus tahun ke tahun sebahagian besarnya didorong oleh pemulihan yang kukuh dalam trafik antarabangsa.

Trafik global kini sebanyak 68.7 peratus daripada paras sebelum krisis.

Di Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Mei 2022 mencatatkan peningkatan 1,088.2 peratus tahun ke tahun kepada 1.98 juta penumpang, terdiri daripada 898,000 penumpang antarabangsa dan 1.08 juta penumpang domestik, susulan pembukaan semula sempadan pada 1 April.

Terdapat banyak ruang untuk pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menampung lebih ramai penumpang di KLIA berdasarkan gabungan kapasitinya sebanyak 75 juta penumpang setahun (6.25 juta penumpang sebulan).

AirAsia misalnya kini menyaksikan kira-kira 45 daripada 100 pesawatnya beroperasi berbanding tempoh ketika pra-pandemik di Malaysia.

Secara realiti, Emirates Airlines, Qatar Airways, Singapore Airlines, Cathay Pacific, Jet Airways, Air New Zealand, Kuwait Airways, Saudi Arabian Airlines, antaranya, dalam proses mengambil pekerja berikutan mereka meningkatkan pengambilan untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Qantas Airways Ltd Alan Joyce dilaporkan berkata, industri penerbangan akan memerlukan masa untuk memulihkan sistem dan berjalan dengan lancar semula.

Pandemik Covid-19 terbukti memberi kesan amat serius terhadap industri penerbangan.

Oleh kerana sebahagian besar pesawat syarikat penerbangan ini tidak beroperasi, maka ratusan ribu pekerja di peringkat global juga terpaksa diberhentikan, sama ada juruterbang, anak kapal serta pekerja perkhidmatan kendalian di daratan.

Akibatnya, bebanan bagi memenuhi lonjakan permintaan secara mendadak kini terpaksa dipikul oleh pekerja sedia ada.

Syarikat-syarikat penerbangan di serata dunia berdepan episod pemulihan yang sukar berikutan kekurangan pekerja untuk menerbangkan pesawat, memberi khidmat kepada penumpang atau mengendalikan bagasi mereka yang disusuli dengan masalah pembatalan serta penangguhan penerbangan.

Hab tertentu pula banyak bergantung kepada pekerja warga asing yang biarpun tenaga itu mulai kembali, namun ini tidak sepantas yang diharapkan akibat ketetapan tambahan oleh pihak imigresen.

Sesungguhnya, semua negara juga perlu bersama memainkan peranan masing-masing demi memastikan industri penerbangan terus berkembang seiring pasca pandemik dengan menyediakan ketersambungan, memacu kemakmuran negara serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.

Secara keseluruhan, industri ini sedang bergelut untuk bangkit semula dan sedang melakukan usaha yang terbaik agar terus dapat beroperasi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak