KUCHING: Datuk Gerald Rentap Jabu akan menyerahkan insentif wang tunai berjumlah RM500 bagi mengiktiraf pencapaian atlet Sarawak yang meraih pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) XX bermula September ini.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata, insentif tersebut adalah hadiah peribadi dari dirinya sebagai menghargai jasa atlet-atlet yang berjaya menghadiahkan pingat emas buat Sarawak.

“Bagi atlet yang berjaya memenangi pingat emas nanti, saya secara peribadi akan memberi insentif kepada mereka..justeru, barisan atlet dari Sarawak ini perlu bekerja keras.

“Saya percaya skuad Sukma Sarawak telah pun bersedia menjelang Sukma XX yang kini berbaki hanya tinggal 19 hari malah semua kelengkapan sudah disediakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak bersama Chef De Mission dan Pegawai-Pegawai Kontinjen Sarawak Sukma XX, MSN 2022 di Hotel Margherita semalam.

Sekiranya terdapat sebarang masalah, beliau menyeru para atlet untuk tidak memendam masalah tersebut kerana dan sentiasa merujuk kepada Timbalan ‘Chef De Mission’ sukan masing-masing.

Mengenai lantikan 20 ACDM itu, beliau menegaskan agar mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang kejohanan dengan menguruskan perkara-perkara khusus seperti penginapan dan makanan pasukan dengan baik.

“Kepada ACDM yang baharu dilantik mungkin ada di antaranya tidak jelas apa yang patut mereka lakukan, kita akan memberikan khidmat perkongsian untuk memastikan kemenangan kepada Sarawak,” tegasnya.

Turut hadir majlis, Menteri Sukan, Belia dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalannya, Datuk Ripin Lamat, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Nancy Jolhi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Morshidi Fredrick.

Suara Sarawak