KOTA SAMARAHAN: Pasukan pilihan, Bau Corps menepati ramalan selaku juara bola tampar selepas menang mudah dalam aksi final menentang tuan rumah, Skyjet di Dewan Tertutup Samarahan, semalam.

Aksi yang berlangsung kira-kira 40 minit bermula dengan keputusan set pertama (25-13) dimenangi oleh Bau Corps, diikuti set kedua berakhir dengan keputusan (25-23).

Ini sekali gus menyaksikan pasukan Skyjet terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua kejohanan tersebut.

SELESAI…Tiga pasukan yang memenangi kejohanan bergambar bersama-sama

Sementara itu, tempat ketiga berjaya dirangkul oleh pasukan jemputan dari Kuching, CVS selepas berjaya mengalahkan pasukan Medikal Samarahan dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Kejohanan Bola Tampar Jemputan Persahabatan 2022 melibatkan penyertaan seramai lapan pasukan yang terdiri IPD Samarahan, Simunjan, Medical Pusat Jantung, dan pasukan Medical Samarahan.

Menurut Ketua penganjur kejohanan Anselm julian Lomas, objektif acara jemputan ini adalah untuk memupuk lebih ramai bakat baharu pemain-pemain khususnya di kawasan Samarahan dan juga Kuching.

“Ini sebagai usaha untuk mengasah bakat-bakat baharu di samping mengenal pasti bakat muda yang turut serta sepanjang kejohanan

“Selain itu, ia juga menggalakkan perkembangan bola tampar dan membuka ruang kepada peminat sukan itu untuk mengetengahkan bakat masing-masing,” katanya.

Tambahnya, pengadil perlawanan yang mengendalikan merupakan pengadil bertauliah dan berpengalaman luas.

JUARA…Barisan pemain-pemain Bau Corps

Suara Sarawak