Mancha (dua kiri) turut menyampaikan buah tangan kepada Noni sambil disaksikan oleh Ahsmon (kiri).

KUCHING: Keceriaan terpancar di wajah pasangan warga emas, Sukeri Zaini, 70, dan isteri, Noni Ghazali, 69, apabila rumah usang yang didiami selama 20 tahun kini telah dinaik taraf, sekali gus memberi keselesaan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ia hasil daripada inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang menghulurkan tenaga membaik pulih semula rumah warga emas yang daif itu di Kampung Buntal, di sini.

Pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata dan tiada pekerjaan tetap serta penerima bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Azman (tiga kiri) menandatangi plak pada rumah pasangan warga emas Sukeri dan Noni. Turut kelihatan Ahsmon (kanan).

Melalui peruntukkan RM10,000 disumbangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi, IPD Kuching dengan kerjasama penduduk setempat menggantikan dinding, lantai dan bumbung yang telah rosak serta mengecat semula rumah tersebut.

Penyerahan rumah tersebut disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada Program Sentuhan Kasih sempena Hari Polis Ke-215, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung, Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak Asisten Komisioner James Jonathan, Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan dan Operasi) Sarawak Asisten Komisioner Yuszida Basria dan pegawai kanan polis yang lain.

Mohd Azman ditemui media berkata, selain membaik pulih rumah, pasangan tersebut turut menerima bantuan makanan daripada tabung kebajikan IPD Kuching.

UNTUKMU…Mohd Azman menyampaikan buah tangan kepada Sukeri.

Justeru, beliau berkata pihaknya merancang untuk memperluaskan program berkenaan di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini pada masa depan.

“Kita akan sampaikan cadangan ini kepada semua Ketua Polis Daerah dan keutamaan diberikan kepada pesara dan bekas polis termasuk penduduk kampung yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya.

Tambahnya, program itu akan melibatkan kolaborasi bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, IPD Kuching telah melaksanakan sebanyak 16 program kebajikan menyantuni pesara dan bekas polis di daerah ini.

Katanya, program yang diadakan hari ini merupakan hasil cetusan dari bulan kebajikan yang dilancarkan di peringkat IPD Kuching pada Julai lalu.

Jelasnya, ia bertujuan membantu golongan yang daif dan tidak berkemampuan sejajar dengan tema Hari Polis ke-215, “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

MESRA…Mohd Azman menyantuni Sukeri ketika meninjau rumah yang telah dibaik pulih oleh IPD Kuching dan penduduk Kampung Buntal.

Suara Sarawak