RAKAM KENANGAN… Toh Puan Norlidah (lima kanan) bersama rombongan merakam kenangan bersama Toh Puan Raghad Kurdi (lima kiri), Juma’ani (empat kanan) dan isteri kenamaan lain.

KUCHING: Isteri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima Dr Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni mengadakan lawatan ke Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS), di sini petang semalam.

Ketibaan Toh Puan bersama rombongan iaitu isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag, isteri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datin Noraini Saleh dan diiringi isteri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan iaitu Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud disambut oleh wakil Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dr Nadianatra Musa.

Menurut kenyataan media Centexs, rombongan Toh Puan berkesempatan meneliti proses pembuatan tenunan songket Sarawak dan sulaman tudung Keringkam sambil mendengar penerangan seni tenunan oleh pelatih Centexs.

Rombongan Toh Puan turut menyaksikan pameran di Galeri Songket dan Keringkam, Warisan Melayu Sarawak di CENTEXS sebelum melawat ke Digital Academy dan Heritage Technology and Gastronomy Academy.

Sementara itu, Toh Puan berserta rombongan turut diraikan dengan Majlis Makan Malam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini malam semalam.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah isteri Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Majlis diserikan dengan hiburan nyanyian penyanyi-penyanyi tempatan, orkestra serta persembahan tarian kebudayaan pelbagai etnik di Sarawak termasuk Sabah.

Antara yang hadir ialah Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, isteri Datuk Sri Dr Sim Kui Hian, Datin Enn Ong Siok Ean, isteri Speaker DUN Sabah Datin Noraini Salleh serta isteri Speaker DUN Sarawak Puan Sri Datin Amar Fatimah Iskandar.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Dr Sabariah Putit serta jemputan kenamaan lain.

Rombongan Toh Puan Norlidah yang tiba di Kuching pada Rabu akan mengadakan lawatan ke Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan hari ini sebelum berangkat pulang ke Sabah.

TELITI… Toh Puan Norlidah berkesempatan meneliti proses pembuatan tenunan songket Sarawak dan sulaman tudung Keringkam di CENTEXS.

Suara Sarawak