Sekitar lawatan Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Norlidah ke Pusat Jantung Sarawak, hari ini. Hadir sama Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang .

KUCHING: Isteri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Norlidah Tan Sri Datuk R.M Jasni bersama-sama rombongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Jantung Sarawak di sini, hari ini.

Turut sama dalam lawatan itu adalah isteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Juliah Salag dan isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datin Noraini Salleh.

Mereka disambut oleh isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datin Sri Enn Ong Siok Ean dan Pengarah Pusat Jantung Sarawak, Dr. Mohd.Asri Riffin.

Sejurus ketibaan, mereka diberikan taklimat oleh Dr. Mohd Aseri sebelum dibawa melawat ke wad di tingkat enam yang menempatkan seramai 20 pesakit. Lawatan tersebut juga bertujuan memberikan sumbangan kepada pesakit.

Sementara itu, isteri Premier Sarawak yang juga Pengerusi SABATI Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut hadir dan menyempurnakan penyerahan sumbangan berupa ‘angpow’ dan barangan keperluan asas.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia (MA63) dan Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah serta rombongan berangkat pulang ke Sabah dengan menaiki pesawat khas sekitar jam 4.45 petang tadi.

Suara Sarawak