Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 kepada salah seorang penerima.

SERIAN: Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis mengingatkan pegawai dan anggotanya agar menjauhi dan menghentikan mana-mana elemen negatif.

Beliau menegaskan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga polis yang terlibat dalam apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Saya berharap agar tiada warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian diambil tindakan tatatertib disebabkan penglibatan aktiviti-aktiviti sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Serian, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aswandy berkata setiap penyelia hendaklah memainkan peranan dalam memantau pegawai mahupun anggota di bawah jagaan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis menyemat kenaikan pangkat kepada salah seorang penerima.

“Kegagalan penyelia dalam melaksanakan tugas boleh mengakibatkan tindakan akauntabiliti terhadap penyelia berkenaan,” katanya.

Sementara mengenai trend jenayah di bawah IPD Serian, beliau berkata ia menunjukkan peningkatan terutama jenayah harta benda.

Justeru, katanya ia telah memberi impak kepada kredibiliti PDRM untuk membuat perancangan dan tindakan sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua peringkat dalam IPD Serian menggembleng tenaga dalam menyelesaikan apa sahaja isu yang berbangkit.

“Tanpa kerjasama semua, sudah pasti akan menyebabkan usaha-usaha yang dibuat tidak akan mencapai objektif yang disasarkan,” katanya.

Perhimpunan Bulanan IPD Serian itu turut menyaksikan upacara penyematan kenaikan pangkat serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 kepada beberapa pegawai, anggota dan kakitangan IPD Serian.

Suara Sarawak