KUCHING: Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat Sarawak menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Ogos ini.

Pengarah Perkeso Sarawak Philip Sangkan berkata, karnival tersebut diadakan di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

“Sehubungan itu, orang ramai khususnya siswazah dijemput hadir kerana temu duga akan dibuka selama tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penyerahan cek bayaran faedah pengurusan jenazah kepada keluarga mendiang Theophilus Oliver Gary, di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, hari ini.

Untuk rekod, lebih 25 syarikat terlibat dalam karnival ini dan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan swasta, sektor industri pembuatan, perdagangan, pemborongan, peruncitan dan juga perhotelan.

Sementara itu, ketika ditanya adakah syarikat di Sarawak turut dikesan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya), Philip enggan mengulas lanjut.

Jelajah AKM Sarawak tawar lebih 1,000 peluang pekerjaan

Katanya, ia susulan kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa setakat ini.

Program Penjana Kerjaya adalah antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja mendepani cabaran Covid-19 sejak awal 2020.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pelaksanaan operasi besar-besaran bersama Perkeso dijalankan bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri di Malaysia.

Operasi berkenaan dijalankan susulan maklumat diperoleh menerusi pemantauan dan risikan SPRM dengan kerjasama Perkeso yang mendapati terdapat beberapa majikan mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana program tersebut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak