Julaihi menyampaikan ucapan Abang Johari pada majlis pelancaran SMART Ng. Sekukut, Ulu Yong, Kapit hari ini.

 

KAPIT: Kemudahan internet berkelajuan tinggi yang kini dinikmati penduduk di Kapit, akan membuka peluang baru kepada warga daerah terpencil itu untuk mencipta kekayaan, meningkatkan kemahiran digital serta mendapat akses kepada pengetahuan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sekali gus membawa masa depan Sarawak berkembang maju sebagai sebuah komuniti celik digital yang didorong oleh data dan inovasi.

“Dengan adanya internet, masyarakat luar bandar di Sarawak berpeluang menggunakan platform tersebut untuk mengembangkan sosioekonomi dan membina pangkalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kuat dengan menjalinkan pertalian baharu pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

“Hal ini akan membuka skop yang lebih luas bagi komuniti pedalaman untuk menjadi usahawan yang berjaya dan seterusnya mengubah landskap masa depan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi sempena majlis pelancaran projek Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) Ng. Sekukut, Ulu Yong, di sini hari ini

Menurutnya, dengan menghubungkan komuniti pertanian di Sarawak secara digital serta mengadaptasi teknologi pertanian pintar dalam aktiviti pertanian, Sarawak berada di landasan yang betul untuk menjadi pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030.

“Saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa Sarawak tidak boleh ketinggalan dari segi penggunaan teknologi digital dan pertumbuhan ekonomi digital.

“Strategi kerajaan Sarawak adalah untuk membina infrastruktur digital untuk meluaskan liputan dan
menyediakan jaringan jalur lebar terutamanya kepada masyarakat luar bandar bagi merapatkan jurang digital di Sarawak,” katanya.

Justeru, Abang Johari berkata SMART adalah bukti jelas bahawa penduduk pedalaman tidak akan ketinggalan dalam transformasi digital.

“Rakyat Sarawak perlu bekerjasama, untuk
mencapai status sebagai pusat ekonomi digital bagi membolehkan kita menikmati pertumbuhan dan kemakmuran dan mempertahankannya untuk generasi yang akan datang.

“Dengan adanya jaringan jalur lebar di kawasan Kapit dan luar bandar, Sarawak mampu merealisasikan visi menuju ke arah wilayah maju pada 2030 nanti,” katanya.

Suara Sarawak