PADAM… Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran.

SELANGAU: Seramai 171 penghuni Rh. Jungan, Batu 36 Tamin, Jalan Sibu-Selangau tinggal sehelai sepinggang setelah rumah panjang mereka ranap dalam kebakaran pada pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4, Janggan Muling berkata, kesemua penghuni terjejas itu terdiri daripada lapan lelaki warga emas, warga emas perempuan (12), lelaki dewasa (51), perempuan dewasa (43), kanak-kanak lelaki (23), kanak-kanak perempuan (27), bayi lelaki (1), bayi perempuan (5) dan orang kelainan upaya (1).

“Kebakaran melibatkan 37 pintu rumah panjang berkeluasan 520 X 180 kaki persegi telah terbakar 98 peratus.

“Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya yang dihubungi.

Ditanya mengenai punca kejadian, Janggan memberitahu pihaknya masih lagi menjalankan siasatan terperinci.

“Punca sebenar dan jumlah kerugian masih belum dipastikan lagi sehingga siasatan selesai dijalankan oleh unit forensik bomba,” katanya.

Terdahulu, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Selangau menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.58 pagi dan segera mengerahkan anggotanya ke lokasi serta mendapatkan bantuan dari BBP Sungai Merah.

Setakat ini, kerja-kerja ‘overhaul’ masih lagi dijalankan.

Sementara, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Selangau Inting Nyami berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa terlibat.

Adun Tamin Ir Christopher Gira Sambang difahamkan kini masih berada di Kuala Lumpur dan dijangka akan melawat mangsa esok.

RANAP…Api ketika sedang marak meranapkan hampir keseluruhan rumah panjang terbabit.

Suara Sarawak