KUCHING: Tanah perkuburan Islam (TPI) di Semariang secara puratanya hanya mampu menampung pengebumian jenazah untuk tempoh lima tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif  Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata, sebahagian besar TPI di sini telah digunakan dan sudah mencapai 70 peratus.

“Tanah perkuburan semakin padat dengan purata lapan jenazah dikebumikan setiap hari dan tapak baharu adalah perlu bagi menambah keluasan TPI Semariang yang kita jangka penuh dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Gazebo Mesra Alam TPI Semariang di Tanah Perkuburan Semariang, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat beberapa langkah yang telah diambil bagi memastikan ia mampu menampung keperluan pengebumian jenazah pada masa akan datang.

“LAKMNS merancang untuk memohon tanah berhampiran tapak TPI yang mana telah dijanjikan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Keluasan bagi permohonan tanah ini belum dapat kita pastikan kerana kita masih berbincang dengan JTS. Insya-Allah kita akan menguruskan perkara ini bersama JTS dalam masa terdekat,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah LAKMNS turut menimbus tasik sedia ada berhampiran TPI Semariang untuk menampung keperluan jenazah, beliau menyatakan bahawa tasik tersebut tidak akan ditimbus.

Hal ini kerana katanya, LAKMNS lebih memfokuskan untuk memohon tanah dengan JTS di kawasan berhampiran.

“Kita juga tidak mungkin menimbus tasik tersebut kerana tasik ini mampu menampung jumlah taburan hujan ketika ini,” jelasnya lanjut.

Suara Sarawak