Dr Kelvin Yii Lee Wuen

KUCHING: Tindakan Kerajaan Persekutuan memindahkan sembilan pegawai polis yang sedang disiasat kerana memeras ugut ke Sabah dan Sarawak adalah satu penghinaan dan kerugian besar kepada kedua-dua wilayah ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen menegaskan, kerajaan pusat tidak seharusnya menganggap Sabah dan Sarawak sebagai kawasan pembuangan penjawat awam yang menghadapi tindakan tatatertib.

“Tindakan sedemikian membuka persoalan yang lebih besar mengenai – kekerapan tindakan sedemikian dan adakah selama ini menjadi amalan biasa untuk hanya memindahkan penjawat awam yang bermasalah serta tidak berprestasi ke kdua-dua negeri ini.

“Berapa kerap dan sejauh mana masalah ini berlaku? Adakah ini kini dianggap amalan biasa dan boleh diterima oleh kerajaan?, soalannya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu turut menggesa pihak berkaitan khususnya menteri bertanggungjawab untuk memandang serius perkara terbabit.

Tegasnya, langkah sebegini bukan bertujuan untuk menghukum penjawat awam, tetapi menetapkan standard dan kecekapan perkhidmatan awam negara yang menjadi tunjang kerajaan termasuk mempunyai insentif yang lebih baik bagi mereka yang berprestasi di bawah merit.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan dijalankan terhadap sembilan anggota polis selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.

Kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci dengan kesemua anggota yang terlibat telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak