Abang Johari melihat replika bangunan ibu pejabat baharu Shell Malaysia di Miri.

MIRI: Kembalinya syarikat minyak gergasi, Shell Malaysia ke tempat kelahirannya di Miri merupakan bukti kukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Parti Sarawak (GPS).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia kerana GPS merupakan sebuah kerajaan yang stabil.

“Kita merupakan kerajaan yang memandang ke hadapan dan dengan keyakinan seperti ini, ramai pelabur mempunyai keyakinan untuk melabur di Sarawak.

“Malah dengan kembalinya Shell ke Miri, kita akan mengukuhkan kerjasama, terus membantu dan menyokong pengoperasinya syarikat tersebut di negeri ini,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian pada Majlis Penyerahan Penganugerah Pembinaan Ibu Pejabat Baharu Shell Malaysia di Miri Times Square, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan Sarawak sedang mengambil langkah untuk menambah nilai kepada sumber gasnya untuk tidak hanya bergantung kepada eksport gas asli cecair (LNG).

“Pendekatan kami adalah untuk menambah nilai kepada gas. Saya telah menyatakan kepada Petronas bahawa ia tidak boleh bergantung kepada pengeluaran LNG sahaja, jika tidak Sarawak akan rugi dalam jangka panjang.

“Kita mesti memanfaatkan dan mempelbagaikan kepada produk petrokimia lain yang mempunyai nilai lebih seperti metanol, hidrogen, dan ammonia yang boleh dieksport,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Yamani Hafez Musa, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Shell Malaysia Ivan Tan  dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Parkcity Datuk Seri Yaw Chee Siew.

Suara Sarawak