KUCHING: Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune akan menjadi tuan rumah bagi Program Kembara Ilmu Inap Desa TUFS 2022 anjuran Jabatan Bahasa Melayu Universiti Pengajian Bahasa Asing Tokyo (TUFS) pada 1 hingga 5 September nanti.

Justeru, program selama lima hari itu akan menyaksikan seramai 13 orang pelajar dari Jepun dengan diiringi oleh pensyarah Faridah Mohamed berkampung di sini bagi menyelami kehidupan masyarakat Melayu Sarawak.

Penyelaras program yang juga Editor Eksekutif Suara Sarawak, Rohana Wahed berkata tujuan kembara ilmu itu untuk memberikan peluang kepada pelajar dari luar negara mengenali budaya, warisan, sejarah serta menikmati kepelbagaian makanan tradisional yang menarik di Sarawak seperti mi kolok.

“Pelbagai aktiviti menarik disusun dengan kerjasama pelbagai pihak seperti lawatan ke beberapa tempat bersejarah di Kuching termasuk kawasan Segi Tiga Emas di sekitar Tebingan Kuching, Muzium Budaya Borneo, melawat kawasan perkampungan Melayu di Santubong dan Kota Samarahan.

“Rombongan pelajar yang digelar Anak Samurai juga akan melawat Kampung Budaya Sarawak, Taman Buaya Jong, Pusat Hidupan Liar Matang selain dihidangkan dengan persembahan hadrah sekali gus mendedahkan mereka mengenai keunikan seni dan budaya yang ada di Sarawak,” katanya.

Beliau menambah, rombongan akan menginap di inap desa perkampungan Melayu bagi memberi mereka peluang menikmati cara hidup keluarga Melayu Sarawak.

“Pelajar juga akan mengenakan baju Melayu dan kurung, menyanyi, deklamasi puisi serta berpantun supaya dapat mempamerkan bakat mereka yang fasih berbahasa Melayu baku,” katanya.

Rombongan pelajar terbabit juga akan mengadakan kelas bahasa Jepun percuma di Rumah Inap Kampung Santubong pada 3 September jam 3 petang dan terbuka kepada pelajar serta anak muda yang berminat.

TUFS memilih Sarawak sebagai destinasi pertama mereka untuk mengadakan program berkenaan sebelum ke destinasi seterusnya iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Singapura yang berlangsung selama 17 hari keseluruhannya.

Suara Sarawak