KUCHING: Gara-gara memukul bekas teman wanita menggunakan helmet kerana memutuskan hubungan cinta, seorang pemuda dijatuhi hukuman denda RM2,300 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Kamaru, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia sengaja memukul seorang wanita berusia 24 tahun menggunakan topi keledar di sebuah bilik sewa di Jalan Matang, sekitar jam 1.30 petang, 11 Ogos lalu.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepuluh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa telah datang ke bilik sewa tertuduh untuk mengambil barang-barang miliknya.

Bekas teman lelakinya yang ketika itu tidak berpuas hati kerana mangsa memutuskan hubungan cinta mereka telah bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar berwarna biru.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian kepala seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Tertuduh berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching di sebuah kafe sehari selepas kejadian.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak