Chong ketika ditemu bual wartawan di Borneo Samariang Garden (Foto Abdul Hakeem Well)

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu masuk campur untuk menyelesaikan masalah projek pembinaan terbengkalai yang dihadapi pembeli perumahan Sentoria fasa 5 dan 7 serta Perumahan Spektra 1 dan 2.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, kerajaan mempunyai kuasa untuk menentukan atau mengambil alih sesebuah projek sekiranya mereka mahu.

“Kalau Tok Nan (bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem) boleh menghapuskan pelaksanaan tol yang memerlukan proses yang rumit, saya percaya kerajaan sekarang juga mampu untuk menyelesaikan masalah perumahan yang sudah tertangguh lama ini.

“Kita sedia maklum bahawa ia akan mengambil masa yang lama untuk melalui proses saman terhadap pemaju dan menunggu pelantikan pemaju baharu untuk meneruskan projek tersebut.

GESA… Chong bersama-sama yang lain memegang poster menyeru agar tindakan segera diambil terhadap projek rumah terbengkalai di Borneo Samariang Garden agar dapat diselesaikan

“Ia merumitkan dan mengambil masa yang lama. Terdapat banyak cara untuk menangani isu ini dan saya percaya ia boleh dilakukan. Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil alih projek tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Sidang Media Mengenai Projek Perumahan Sentoria di Borneo Samariang Garden, di sini, hari ini.

Tambahnya, penyelesaian terbaik sekarang adalah kerajaan perlu menggesa pihak pemaju untuk menyerahkan projek yang sudah lama tertangguh itu supaya ia dapat disiapkan dengan segera.

Sementara, beliau mendedahkan bahawa hampir 1,000 orang pembeli terkesan akibat kelewatan penyiapan projek tersebut dan sekitar 90 peratus daripadanya merupakan penjawat awam.

Suara Sarawak