Abang Johari (barisan hadapan,lima kiri) bergambar bersama atlet Taekwondo dalam Majlis Penutupan Sarawak Borneo Cup International Taekwondo (WTF) Championship 2022 di Stadium Perpaduan di sini (Foto Japen Sarawak)

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong sukan Taekwondo walaupun ia tidak tersenarai dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang akan datang.

Demikian kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang melahirkan rasa kecewa susulan kejohanan atau acara taekwondo digugurkan daripada Sukma 2022.

“Pada Sukma 2018, Taekwondo merupakan salah satu acara yang dipertandingkan, sudah pasti pada Sukma kali ini, Sarawak berasa sedih kerana taekwando telah digugurkan.

“Tetapi kita (kerajaan Sarawak) akan terus menyokong pembangunan sukan taekwondo ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan ‘Sarawak Borneo Cup International Taekwondo (Wtf) Championship’ di Stadium Perpaduan Negeri, di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga penaung Persatuan Taekwondo Sarawak menegaskan apabila sesuatu sukan disenaraikan dalam acara sukan yang dianjurkan, ia perlu dikekalkan kerana itu satu-satunya cara untuk memajukan sukan itu.

Katanya, taekwondo tidak boleh digugurkan sebagai salah satu acara sukan kerana ia juga boleh berlaku kepada acara sukan lain.

“Jika hal sebegini berlaku, sukar untuk kita membangunkan sebarang acara sukan. Kita mesti mempunyai dasar yang konsisten untuk perkara ini.

“Justeru, saya berharap dasar sukan negara dapat dikaji semula supaya program sukan berprestasi tinggi seperti taekwondo sentiasa disenaraikan dalam Sukan Sukma,” ujarnya.

Taekwondo adalah antara tiga sukan yang digugurkan daripada Sukan Sukma pada 2017, bersama-sama dengan angkat berat dan sepak takraw.

Suara Sarawak