KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 berjumlah hampir RM1 billion bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, BKSS tersebut merangkumi lima langkah yang berkuat kuasa selama tempoh enam bulan mulai Julai hingga Disember tahun ini.

Beliau berkata, daripada lima pakej ini, satu pakej baharu diperkenalkan iaitu bahan binaan tambahan di bawah peruntukan untuk variasi harga (VOP) 2.0 manakala empat pakej sedia ada dikekalkan seperti diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun taksiran cukai pintu dan diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai.

Setakat Jun lalu katanya, inflasi Malaysia meningkat 3.4 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya, manakala kadar inflasi Sarawak meningkat 3.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Sekarang adalah masa yang sangat mencabar bagi kita disebabkan beban kos sara hidup yang semakin tinggi. Saya mendengar keluhan rakyat berkenaan harga barang yang semakin meningkat seperti harga ayam dan telur, kenaikan harga minyak masak dan sebagainya.

“Sebagai kerajaan yang mendengar dan prihatin terhadap keluhan rakyat, Kerajaan Sarawak telah mengambil keputusan untuk menyambung pemberian bantuan bagi meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutama yang berpendapatan rendah,”katanya dalam satu sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Abang Johari (tengah) mengumumkan bantuan BKSS 9.0 bernilai RM1 billion di Wisma Bapa Malaysia, Kuching hari ini.

Bagi langkah pertama iaitu diskaun bil elektrik, Abang Johari berkata inisiatif yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM201.76 juta ini akan meneruskan diskaun 5 sehingga 25 peratus ke atas bil elektrik bulanan pengguna.

“Inisiatif pemberian diskaun bil elektrik bulanan ini memberi manfaat kepada pengguna domestik, komersil dan Industri termasuk pengusaha dan peruncit makanan mulai Julai hingga Disember 2022.

“Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 685,000 pemegang akaun di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Jelas Abang Johari, langkah kedua pula adalah adalah meneruskan pemberian diskaun antara 10 dan 25 peratus untuk bil air bulanan pengguna domestik, komersil dan industri bagi tempoh yang sama.

Katanya, kos keseluruhan diskaun bil air yang berjumlah RM35.34 juta dan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak ini memberi manfaat kepada lebih daripada 685,000 pemegang akaun di seluruh Sarawak.

Sementara itu, langkah BKSS 9.0 ini turut melibatkan diskaun taksiran kadar cukai pintu tahunan 25 peratus melebihi RM400 dan diskaun 30 peratus untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 dan ke bawah mulai Julai hingga Disember 2022.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 500,000 premis di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan melibatkan premis kediaman, komersil, industri dan premis pegangan khas.

“Ini sekali gus meringankan beban rakyat dan peniaga di Sarawak. Keseluruhan kos diskaun ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM54 juta,” kata Abang Johari.

Menerusi BKSS 9.0 itu juga, diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk peniaga dan penjaja diteruskan bagi bulan Julai hingga Disember 2022.

Menurut Abang Johari, bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah PBT dan badan-badan berkanun melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM1.73 juta.

Di bawah langkah kelima, kerajaan Sarawak telah memulakan peruntukan khas Variasi Harga (VOP) 2.0 di bawah BKSS 9.0 bagi menampung kenaikan harga bahan binaan bagi semua projek yang dibiayai kerajaan negeri.

“Kenaikan harga bahan binaan telah memberi kesan buruk kepada pemain dalam industri binaan

“Sebagai usaha ke arah mengurangkan hakisan margin yang dihadapi oleh kontraktor dan memastikan penyampaian projek kerajaan pada masa sukar ini, jerajaan Sarawak telah memulakan Variasi Harga (VOP) 2.0 untuk menampung kenaikan harga bahan binaan,” jelasnya.

Projek yang dibiayai VOP 2.0 akan meliputi bidang kontrak berterusan dengan Surat Setuju Terima (LOA) yang dikeluarkan antara 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021.

Katanya, kerajaan Sarawak dianggarkan menanggung kos kira-kira RM700 juta untuk membenarkan perubahan harga.

Suara Sarawak